Friday 12 August 2011

Konsep Tawakal

Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Tawakal merupakan salah satu sifat mahmudah yang disarankan oleh Imam al-Ghazali.
Tawakal bererti meletakkan kebergantunganya hanya pada Allah SWT setelah berazam. Seterusnya diikuti dengan usaha.



Firman Allah SWT dalam surah Ali-‘Imran ayat 159 :



فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ



Maksudnya : Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

Ada yang berpendapat bahawa tawakal kepada Allah SWT bukan hanya sebagai kewajipan akhlak, bahkan juga dianggap salah satu akidah Islamiah dan dipandang sebagai satu perkara yang fardhu menurut agama. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Ma’idah ayat 23 :



وَعَلَى اللَّهِ فَتَوَكَّلُوا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ



Maksudnya : “Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman".



Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa tawakal merupakan sebahagian daripada akidah orang mukmin dan mutlak kepada Allah SWT. Apabila seseorang Muslim itu hidup dalam akidah tawakal kepada Allah, maka tumbuhlah akidahnya menyuburi akhlaknya hari demi hari. Yang demikian itu seperti firman Allah SWT Surah al-Furqaan ayat 58 :


وَتَوَكَّلْ عَلَى الْحَيِّ الَّذِي لا يَمُوتُ



“Dan bertawakkallah kepada Allah Yang Hidup (Kekal) Yang tidak mati…”

Jika dilihat pada situasi hari ini, ramai umat Islam tersalah faham tentang konsep tawakal. Ada yang bertawakal tanpa usaha dahulu dan ada juga yang bertawakal sebelum berusaha. Misalnya seseorang yang meninggalkan rumahnya tanpa mengunci pintu terlebih dahulu dan hanya bertawakal sahaja kepada Allah supaya rumahnya tidak dimasuki pencuri. Kemudian apabila rumah telah dimasuki pencuri, mereka menyalahkan Allah dengan mengatakan Allah tidak mendengar tawakalnya.



Ada juga orang yang berusaha, berdoa dan bertawakal dalam usahanya itu, tetapi tetap tidak berjaya dan Allah tidak memberikan kejayaan kepadanya. Dalam hal ini, individu tersebut haruslah muhasabah diri semula dan meneliti adakah ikhtiar yang dilakukan selama ini mencukupi atau hingga mengabaikan ibadah-ibadah wajib, sering melakukan dosa atau sebagainya. Oleh itu, tawakal perlu disusuli pula dengan sikap reda dan sabar dengan apa yang akan diberikan oleh Allah.



Antara kisah anbiya’ yang dapat kita jadikan sandaran adalah ketika penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Baginda menyusun pelbagai strategi agar dapat mengelak dari kaum Musyrikin Quraisy seperti menyuruh Ali bin Abi Talib tidur di tempatnya, bersembunyi di Gua Thur, dan menggunakan jalan yang jarang dilalui oleh orang ramai. Kemudian, Baginda bertawakal kepada Allah, dan Allah SWT sentiasa bersama Baginda.



Allah SWT berfirman dalam surah ali-‘Imran ayat 173:

الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ



Maksudnya : (Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: "Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka", maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: "Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung."


Sebagai seorang individu muslim, sewajarnya kita bertawakal kepada Allah dalam setiap perkara yang kita lakukan seperti berkaitan ilmu, kesihatan, rezeki, jodoh, kejayaan dalam perniagaan dan sebagainya kerana hanya Allah sebaik-baik Pelindung dan Penolong.




*hehe...di post selepas menghantar assignment Akhlak. =) Alhamdulillah.

3 comments:

Post a Comment